WELCOME TO MY BLOG

Wednesday, May 25, 2011

Kesedaran tentang HIV AIDS



AIDS



AIDS (Acquired Immunodeficiency Syndrome) atau Sindrom Kurang Daya Tahan adalah satu penyakit yang serius disebabkan oleh virus HIV (Human Immunodeficiency Virus). Semenjak mula dilaporkan pada tahun 1981, penyakit AIDS terus membimbangkan seluruh dunia terutamanya di negara-negara barat dan Afrika. Kebimbangan ini timbul kerana penyakit AIDS telah merebak dengan luasnya dan sehingga sekarang belum ada lagi rawatan khusus untuk penyakit ini. Kebanyakan pesakit AIDS berkesudahan dengan kematian.

Walaubagaimanapun, penyakit AIDS boleh dicegah dengan berkesan. Ini memerlukan kerjasama dan penglibatan setiap individu dan lapisan masyarakat. Selain daripada itu, apa yang yang mendukacitakan ialah seorang pesakit AIDS itu bukan sahaja terpaksa menghadapi akibat serangan kuman AIDS tetapi terpaksa pula berhadapan dengan tekanan-tekanan sosial yang disebabkab kurang fahaman tentang penyakit AIDS.


Mereka yang dijangkiti virus AIDS akan terdedah kepada:-

-Semua jenis kuman termasuk yang biasanya tidak membahayakan
-Beberapa jenis barah yang biasanya jarang berlaku


Bagaimana AIDS Merebak?

AIDS merebak melalui orang-orang yang telah dijangkiti virus AIDS melalui
*Darah
*Air mani
*Cecair faraj
*Susu ibu


Siapa yang berisiko untuk untuk mendapat AIDS?

Berdasarkan kepada cara-cara virus AIDS berjangkit, anda mungkin terdedah kepada virus AIDS sekiranya anda melakukan perkara-perkara berikut:-

* Mempunyai ramai pasangan seksual
* Penagih dadah secara suntikan
* Pelacur
* Homoseksual
* Kakitangan perubatan



Bagaimana AIDS bertindak ke atas tubuh badan?

HIV merosakkan sel pertahanan tubuh badan yang dipanggil 'CD4 helper lymphocyte' (Sel CD4).

Sel CD4 bertindak sebagai utusan kepada sel-sel sistem pertahanan tubuh badan yang lain, memberitahu mereka untuk melawan organisma yang menceroboh

HIV melekat dan menjangkiti sel CD4 dan mejadikan sel CD4 sebagai tempat untuk menggandakan virus HIV. Dalam proses ini, sel CD4 yang dijangkiti hilang keupayaan untuk melawan jangkitan lain.

Mereka yang mendapat AIDS, tidak mampu untuk melawan pelbagai jangkitan dan boleh juga mendapat jenis kanser yang tertentu contohnya Karposi sarcoma dan lymphoma. AIDS boleh melibatkan semua sistem dalam tubuh badan.


Bolehkah AIDS Dijangkiti Melalui Pendermaan Darah?

Tidak. Ini adalah kerana semua alat yang digunakan untuk pengambilan darah adalah bersih daripada kuman dan ianya hanya digunakan sekali sahaja. Mereka yang tidak terdedah kepada AIDS adalah digalakkan untuk terus menderma darah.


Bolehkah Anda Dijangkiti AIDS Melalui Pemindahan Darah?

Ini tidak mungkin akan berlaku kerana setiap unit darah yang diderma di negara ini diuji untuk antibodi AIDS. Antibodi AIDS adalah bahan-bahan yang dihasilkan oleh tubuh badan seseorang yang dijangkiti oleh virus AIDS. Sekiranya terdapat Antibodi AIDS, darah itu akan dimusnah dan tidak digunakan.


Bolehkah AIDS Berjangkit Dengan Menyentuh Pesakit AIDS?

Tidak. AIDS tidak boleh merebak melalui sentuhan dan juga cara-cara lain seperti:-

-Sentuhan
-Bersalaman
-Bersukan
-Berhimpit-himpit di tempat yang sesak
-Bekerja dengan seorang pembawa AIDS
-Berciuman


Bolehkah AIDS Berjangkit Melalui Pinggan, Mangkuk, Sudu dan Gelas yang Digunakan oleh Pesakit AIDS?

Tidak. Virus AIDS tidak dapat hidup di luar tubuh manusia. Membasuh pinggan, mangkuk, sudu dan gelas seperti biasa dapat membunuh kuman tersebut.


Bolehkah anda mendapat AIDS dengan memakan makanan yang disediakan oleh pesakit AIDS?

Tidak. Kerana AIDS tidak merebak melalui makanan


Bolehkah AIDS berjangkit dengan menggunakan tandas awam, telefon, dan kenderaan awam?

AIDS tidak boleh dijangkiti dengan menggunakan kemudahan awam di atas oleh kerana ia tidak merebak melalui:-

-air
-udara
-makanan
-menyentuh dan memegang barang-barang kepunyaan pesakit AIDS.


Bolehkah AIDS merebak melalui kolam renang?

Tidak. Virus AIDS akan dimatikan oleh klorin yang dicampurkan ke dalam air di kolam renang.


Bolehkah AIDS berjangkit melalui mencuba pakaian di kedai pakaian?

Tidak. Oleh kerana AIDS tidak boleh merebak melalui udara atau dengan menyentuh barang-barang yang telah disentuh oleh pesakit AIDS.


Bolehkah AIDS berjangkit melalui gigitan nyamuk?

Tidak. Sehingga sekarang tidak ada bukti saintifik menunjukkan bahawa gigitan nyamuk boleh merebak AIDS.


Bagaimanakah anda boleh mengetahui yang anda telah terdedah kepada virus AIDS?

Anda boleh mengetahui yang anda telah terdedah kepada virus AIDS dengan mendapatkan ujian darah di hospital-hospital kerajaan yang berhampiran. Semua keputusan adalah rahsia.


Apakah maknanya jika ujian darah itu negatif?

Ini bermakna antibodi AIDS tidak dikesan. Biasanya ini menunjukkan yang virus AIDS tidak ada dalam badan anda. Walaubagaimanapun, antibodi tersebut hanya dapat dikesan selepas enam minggu hingga tiga bulan anda terdedah kepada virus AIDS. Dalam keadaan begini, ujian darah ulangan adalah diperlukan.


Apakah maknanya jika ujian darah itu positif?

Ini menunjukkan antibodi terhadap virus AIDS itu telah dapat dikesan. Ini bermakna anda telah terdedah kepada jangkitan virus AIDS. Walaubagaimanapun, satu lagi ujian darah perlu dijalankan untuk mengesahkan anda benar-benar dijangkiti virus AIDS.


Bilakah anda akan disahkan sebagai pesakit AIDS?

Anda akan disahkan sebagai seorang pesakit AIDS sekiranya anda mempunyai ciri-ciri berikut:-

1. Ujian pengesahan darah anda adalah positif.

2. Mempunyai sebahagian daripada tanda-tanda dan gejala penyakit AIDS seperti berikut:-

-Susut berat badan melebihi 10% tanpa sebab-sebab tertentu.
-Cirit-birit yang berlarutan.
-Demam yang berpanjangan (sekali-sekala ataupun berterusan)
-Batuk-batuk yang berterusan/batuk kronik.
-Bengkak-bengkak kelenjar di leher, ketiak, atau pangkal peha.
-Penyakit herpes zoster yang berulangan. Herpes zoster adalah sejenis jangkitan urat saraf yang kelihatan sebagai lepuh-lepuh di kulit.
-Penyakit kandidiasis di bahagian mulut dan farinks. (tekak) Kandidiasis adalah penyakit kulit yang disebabkan oleh sejenis kulat.
-Penyakit herpes simplex yang merebak dan berulangan. Herpes simplex adalah sejenis jangkitan kulit yang biasanya kelihatan sebagai lepuh-lepuh di sekitar mulut atau kemaluan.
-bintik-bintik putih pada mulut dan kerongkong.
-hilang ingatan.

3. Mempunyai penyakit-penyakit bersabit lumpuhnya keupayaan badan melawan penyakit yang disebabkan oleh kuman AIDS seperti:-

-Jangkitan paru-paru (Pneumocytis carinii pneumonia).
-Barah di kulit atau mulut (Kaposi's sarcoma)
-Jangkitan-jangkitan lain yang jarang berlaku di kalangan orang yang sihat.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...