Pages

WELCOME TO MY BLOG

Thursday, October 17, 2013

Melayu bangsaku!

SAYA harap rakan saya berbangsa Melayu tidak salah faham membaca artikel ini. Saya tidak memandang rendah kepada orang Melayu. Pada saya, semua bangsa dijadikan ALLAH mempunyai kekuatannya tersendiri. Tiada istilah Melayu malas, bangsa lain rajin dan sebagainya, sebagaimana yang dipersepsikan. Semua bergantung kepada diri sendiri. Seperti kata Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh diubah. Terpulang kepada kita, nak pilih yang mana! Kebelakangan ini, banyak sangat ‘kelemahan’ Melayu sama ada yang saya lihat sendiri atau didedahkan. Saya yakin Melayu tahu dan memahaminya. Tetapi Melayu sengaja membiarkannya. Dalam apa jua bidang, Melayu bermasalah. Dalam politik, mereka saling tikam-menikam walaupun sesama parti. Saling fitnah-memfitnah, jatuh-menjatuh dan sebagainya. Dalam ekonomi, saling dengki-mendengki melihat orang lain berjaya. Bila tidak puas hati, berlaku santau-menyantau. Mereka tidak faham falsafah korban, walaupun tiap-tiap tahun menyambut Hari Raya Korban. Pendek kata, dalam apa jua profesion, Melayu bermasalah. Dalam perjawatan awam (juga swasta), politik untuk naik pangkat,. Oouuhhh! dahsyat. Untuk mencapai matlamat itu, kerjanya membodek sepanjang masa untuk naik, walaupun kualiti kerja macam... Itu belum sebut lagi masalah sosial yang lain seperti gejala sosial remaja, dunia hiburan artis, dadah, dedah, gejala tak solat, masalah keluarga, perceraian dan lain-lain. Berdasarkan statistik, setiap 15 minit, akan lahir anak luar nikah dan pasangan Melayu bercerai. Mudah sahaja untuk menjadi popular di negara ini. Tidak perlu belajar tinggi-tinggi atau masuk universiti. Cukup sekadar masuk industri hiburan, tonjolkan kontroversi atau masuk pertandingan menyanyi, melawak, menonjol dalam sukan dan lain-lain berkaitan. Popularlah. Kenapalah Melayu pantang popular sedikit? Usahkan diri empunya yang mungkin ‘popular’, mereka yang tidak kena-mengena pun terasa popular seperti isteri atau suami artis popular tersebut atau pegawai peribadinya. Maka menyombonglah tidak tentu pasal. Kepopularan ini menjadi dia glamor. Artis-artis pun suka. Maka mengoratlah mereka. Sanggup hadiahkan rumah berjuta-juta. Akhirnya, kedua-dua jadi popular. Persoalannya, kenapa susah sangat nak cari artis atau orang popular yang warak atau low profile. Kenapa hidup penuh kontroversi. Tidak teringin ke masuk syurga? Takkan nak tunggu tua baru nak bertaubat!. Lebih pelik lagi, mereka inilah yang menjadi rebutan syarikat swasta untuk menjadi duta sana sini. Peribadi duta-duta produk tidak diambil kira, yang penting popular. Produk laku. Terbaharu, dilema Melayu popular. Saya naik muak dan lemas menonton YouTube mengenai gelagat isteri seorang pemain bola sepak terhadap pengawal keselamatan di sebuah lapangan terbang. Ini baru bola sepak, belum lagi bola lain. Cuba banding dengan jaguh-jaguh negara bukan Melayu seperti pemain badminton nombor satu dunia. Beliau amat popular. Isterinya juga popular. Kedua-dua mereka berharta dan kaya-raya. Kehidupan mereka tidak pula kontroversi. Bayangkan jika pasangan itu orang Melayu. Ingatlah Melayu, popular di sisi ALLAH, kita bukan apa-apa pun jika tidak ada bekalan iman dan takwa. Sepatutnya kita guna populariti itu untuk cari keredaan ALLAH, menjadikan kelebihan itu untuk mendidik manusia jadi manusia, bukan sebaliknya. Berbeza dengan artis di Barat. Mereka amat popular, bertaraf dunia lagi tetapi mereka tidak sombong, walaupun tidak Islam. Kepopularan mereka digunakan untuk membaiki diri dan keluarga. Buat bekalan di hari tua. Sebab itulah, jarang dengar orang Barat popular merana di usia tua, sebab mereka ada bekalan. Kita pula berlagak tak tentu pasal dengan red carpet sana sini, tetapi poket kosong. Bila tua, merana. Sempena Hari Raya Korban ini, marilah kita muhasabah diri. Kita hanya makhluk ALLAH. Sepopular mana pun, kita tetap hamba ALLAH. Kita akan ditanya tentang Tuhan kita, agama kita, amalan kita dan sumbangan kita. Sejauh manakah sebenarnya kita berkorban? Renungkanglah sejenak!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...