"Rabbi Yassir Wala Tuassir, Rabbi Thamim Bilkhair "
1. Mengazan dan mengqamatkan anak
Bayi yang baru lahir, telinganya berfungsi dengan baik. Islam menganjurkan diazankan di telinga kanan dan diqamatkan di telinga kiri. Tujuannya ialah untuk mengingatkan kembali anak tentang perjanjian yang pernah dikaitkan dengan tuhan di alam Rohani. Membaca Surah Al-Qadar dan Surah Al-Ikhlas
Suami hendaklah juga membanyakkan bacaan surah Al-Qadar di telinga kanan dan surah Al-Ikhlas di telinga kiri bagi tujuan memohon kepada Allah supaya anak yang dilahirkan terselamat dari melakukan perzinaan dan memohon juga supaya dikuatkan iman, jauh dari menyeleweng fahaman akidahnya dari landasan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.
Hadis Rasulullah S.A.W. bermaksud :
“Sesiapa yang mendapat cahaya mata maka diazankan pada telinga kanannya dan diiqamahkan pada telinga kirinya maka akan dijauhkan dari gangguan Ummu Sibyan (sejenis jin yang membawa penyakit).”
Syarat dan pelaksanaan :
Islam mensyaratkan agar azan dilaungkan (sederhana) di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri bayi.
Digalakkan mengadap ke arah kiblat semasa azan dan iqamah itu serta melafazkan dengan cara yang sempurna. Hikmah : Ibn Qayyim Al-Jauziyah menyatakan rahsia “azan” dan “iqamat” adalah seperti berikut :-
a. Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang bersifat sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru lahir.
b. Satu penyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.
2. Melakukan Sujud Syukur
Para suami juga disunatkan melakukan sujud syukur sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Suami boleh lakukan di mana sahaja dia berada ketika itu. Ia elok dilakukan sebaik sahaja anak keluar daripada rahim ibu. Perbanyakkan bacaan zikrullah (tasbih, takbir dan tahmid).
Memohon doa keselamatan untuk anak supaya dijauhkan daripada gangguan syaitan. Apa-apa sahaja doa yang diketahui oleh ibu bapa boleh dibacakan. Nabi Muhammad s.a.w juga melakukan amalan ini apabila cucundanya lahir. Amalan ini disebut dalam hadis sahih dari Bukhari. Ustaz Abu Hasan mengingatkan ibu bapa agar jangan sekali-kali melakukan amalan meletakkan gunting, paku dan sebagainya lagi di bawah bantal bayi bertujuan menghalau syaitan atau sebarang gangguan iblis. Ia boleh jatuh syirik kerana ia perbuatan yang khurafat.
3. Membaca Surah Al-Insyirah Di Jari Manis Dan Ditahnikkan.
Tahnik iaitu membuka atau memecah mulut bayi yang baru lahir dengan buah tamar yang telah dikunyah oleh orang alim dan bertakwa. Pengertian tahnik secara bahasa dan syr’i adalah mengunyah sesuatu dan meletakkanya di mulut bayi. Maka dikatakan mentahnik bayi, mengunyah kurma kemudian menggosokkannya di langit-langit mulut bayi.
Dianjurkan agar yang melakukan tahnik adalah orang yang memiliki keutamaan, dikenal sebagai orang yang baik dan berilmu. Dan hendaklah ia mendo’akan kebaikan (barakah) bagi bayi tersebut.
Ia boleh dilakukan oleh bapa kanak – kanak itu atau dibawa ke rumah orang – orang soleh untuk ditahnikkan dia kerana anak – anak yang lahir di zaman Nabi saw membawa anak – anak mereka itu kepada Nabi saw untuk ditahnik oleh Nabi saw.
Isi buah tamar yang telah dikunyah itu diletakkan di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi. Ini dilakukan sehingga kurma tadi menyentuh keseluruhan mulut sehingga ke rongga tekak bayi. (1) Seandainya kurma sukar didapati, boleh digantikan dengan manisan lain seperti gula dan madu lebah. Jika tiada buah kurma boleh digantikan dengan makanan – makanan lembut yang manis.
Hikmah :
# Untuk menguatkan saraf mulut bagi mempersiapkan bayi berkenaan untuk menghisap susu dengan sempurnanya.
# Menguatkan lidah dan mulut bayi dan bersedia untuk menyusu.
# Dapat mengambil berkat dari orang – orang yang soleh mudah – mudahan kanak – kanak itu akan turut menjadi orang soleh apabila ia dewasa.
# Hikmah tahnik adalah untuk pengharapan kebaikan bagi si anak dengan keimanan, kerana kurma adalah buah dari pohon yang disamakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan seorang mukmin dan juga karena manisnya. Lebih-lebih bila yang mentahnik itu seorang yang memiliki keutamaan, ulama dan orang shalih.
Suami juga hendaklah membaca surah Al-Insyirah di jari manis kemudian mencelupkan jari manis ke dalam manisan (madu) dan ditekankan (ditahnikkan) di langit-langit bayi tersebut dengan membaca ayat 36, surah Ali-Imran :
Maksudnya : “Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”.
Tahnik adalah bertujuan untuk memohon kepada Allah S.W.T. supaya anak yang dilahirkan mempunyai lidah yang fasih dan terkawal lidahnya dari menyebut perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan maksiat walaupun perkara ini boleh dilakukan oleh orang yang soleh namun bapa kepada anak tersebut lebih utama melakukan tahnik untuk anaknya kerana hadis riwayat oleh Tirmizi menyebutkan salah satu doa yang paling mustajab ialah doa ibu bapa untuk anaknya”.
4. Mendoakan anak & memberi nama
Usaha membesarkan dan mendidik anak supaya menjadi manusia berguna bukanlah suatu yang dapat dipastikan kejayaanya. Doa - Berdoa adalah satu usaha. Doa merupakan usaha meminta pertolongan kepada Allah.
5. Penyembelihan aqiqah & bercukur rambut
Untuk mensyukuri kelahiran anak, agama menganjurkan untuk mengadakan acara kesyukuran. Menyembelihkan kambing bagi anak lelaki, 2 ekor dan seekor bagi anak perempuan. Acara tersebut sebaiknya dijalankan ketika anak berumur 7 hari. Aqiqah amat penting, menurut keterangan ulama, hukumnya adalah "Sunat Muakkad". Dengan aqiqah akan menjadikan anak dapat memberi pembelaan (syafaat) kepada orang tuanya pada hari qiamat.
Hikmah aqiqah.
a. Sebagai bukti dari perasaan gembira, kerana diberi kekuatan oleh Allah untuk menjalankan syariat Islam serta dianugerah anak, serta mempunyai harapan agar anak tersebut akan mengabdikan dirinya kepada Allah.
b. Membiasakan berkorban bagi orang tua, demi kepentingan anak yang baru lahir.
c. Melepaskan penghalang pada bayi dalam memberikan syafaat kepada orang tua mereka kelak.
d. melindungi daripada syaitan sehingga setiap anggota tubuh aqiqah berguna untuk menebus seluruh anggota tubuh bayi.
e. Pada waktu memotong aqiqah juga hendaklah diucapkan seperti pada waktu memotong korban iaitu membaca Bismillah.
f. Lebih utama memasak aqiqah itu dan tidak diberikan dalam keadaan mentah. Untuk memudahkan para fakir miskin untuk menikmatinya dan ini lebih terpuji.
g. Umur binatang aqiqah yang disembelih adalah sesuai dengan yang diperintahkan, sihat dan tidak cacat.
h. Tidak sah apabila dilaksanakan secara bersama-sama oleh beberapa orang dengan seekor kambing.
i. Sebaik aqiqah itu berbentuk kambing, walaupun ada juga yang menyembelih seekor unta, lembu atau kerbau.
j. Diutamakan memotong aqiqah atas nama bayi. Rasulullah SAW bersabda, "Sembelihlah atas namanya. Ertinya diniatkan atas nama bayi dengan mengucapkan nama Allah.
k. Penyembelihan terbaik dilakukan sesudah matahari terbit.
l. Sesuatu yang terpuji pada pemotong aqiqah adalam sama terpuji pada pemotong qorban iaitu, dagingnya disedekahkan. Yang baik ialah dibahagi 3 iaitu sebahagian dimasak sendiri sebahagian dihadiahkan dan sebahagian lagi disedekahkan.
m. Tidak diperkenankan menjual kulit aqiqah atau dijadikan bayaran penyembelihan. Harus disedekahkan atau diambil untuk keperluan orang yang mengadakan aqiqah.
n. Bagi seseorang yang mengetahui bahawa orang tuanya belum melakukan aqiqah untuknya, maka dianjurkan untuknya melakukan aqiqah, seperti Nabi telah melakukan aqiqah untuk> dirinya setelah diangkat menjadi Rasul.
o. Sebelum dilakukan penyembelihan aqiqah terlebih dahulu melakukan pencukuran rambut bayi. Kemudian rambut ditimbang dan nilai rambut disedekahkan pada fakir miskin
Bercukur rambut(bukan cukur jambul je haha)
Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk mencukur rambut anaknya pada hari ke tujuh (dibotakkan) sama ada dilakukan olehnya sendiri atau orang lain. Antara hikmah bercukur rambut adalah :
Hikmah kesihatan.
Dengan membuang, mencukur rambut anak yang baru lahir akan terbuka semua lubang rambutnya yang mungkin akan mengukuhkan pancaindera penglihatan, pernafasan dan pendengaran.
Hikmah kemasyarakatan.
Dapat bersedekah dengan emas atau perak seberat timbangan rambutnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.s. ia berkata :
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyuruh supaya mencukur rambut cucunya Saidina Hassan dan Hussin r.a. pada hari ketujuh dan disedekahkan berat timbangan rambutnya dengan nilai perak”. Riwayat At-Tirmizi dan Abu Daud
Menurut Abu Hassan, upacara cukur rambut tidak perlu disertakan dengan marhaban atau berzanji. Ia memadai dengan bercukur rambut sahaja. Melainkan jika ia diadakan pada hari akikah, bolehlah diadakan jamuan.
"Tetapi kadang-kadang disebabkan rasa gembira dengan kehadiran orang baru dalam keluarga, kita mengadakan majlis secara besar-besaran hingga menampakkan unsur-unsur kemewahan. Perbuatan ini tidak menjadi kesalahan asalkan niat dan tujuan diadakan adalah ikhlas kerana Allah s.w.t.. Cuma dibimbangi sekiranya ia bertukar menjadi riak, maka ia adalah menjadi satu kesalahan," ulas beliau mengenai kecenderungan masyarakat hari ini yang gemar mengadakan majlis cukur jambul secara besar-besaran.
"Sebenarnya terlalu banyak adat dan tradisi yang bertentangan dengan syariat tetapi masih tetap diamalkan oleh masyarakat Melayu. Sepatutnya semua perkara bidaah ini harus dihentikan demi menjamin kesejahteraan ummah. "Justeru, demi kebaikan bayi yang dilahirkan supaya menjadi manusia yang berguna kelak, tidak seharusnya mereka didedahkan dengan perkara khurafat dan bidaah sejak masih kecil," tegas beliau.
6. Menanam uri
Di saat-saat kegembiraan menerima ahli baru, seringkali uri dilupakan. Jika pihak keluarga tidak mengambil uri, klinik atau hospital mengumpulkan uri-uri itu dan didermakan kepada syarikat swasta.
Kemudian uri itu diproses bagi memperolehi hormon yang terkandung di dalamnya. Hormon-hormon ini banyak digunakan dalam alat-alat kecantikan dan solekan. Sebahagian ibu bapa cuma membuang bayi dalam tong sampah tanpa memikirkan uri adalah teman rapat bayi didalam kandungan Uri amat penting kepada bayi. Orang tua dahulu mengamalkan cara menanam uri dengan baik. Mereka mencuci dan membalutnya dengan kain dan ditanam.
Selain itu, ibu bapa diingatkan agar jangan percaya kepada amalan sesat yang menanam uri bersama objek lain kerana percaya memberi nasib yang baik kepada bayi. Amalan itu boleh merosakkan akidah.
7. Mengkhatankan anak
Berkhatan atau bersunat harus dilakukan untuk membersihkan anak-anak kerana kemaluan merupakan tempat najis yang harus dibersihkan..
Berkhatan bagi lelaki bertujuan untuk kebersihan, mencegah penyakit dan seksual. Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan satu kewajiban bagi lelaki. Bagi perempuan tidak perlu sebab Imam Syaukawi sebut tidak ada dalil yang sahih tentang wajib berkhatan bagi perempuan.